Larangan beg plastik pakai buang di Perak bermula 1 Mac 2026

IPOH – Perak akan menguatkuasakan larangan menyediakan dan menggunakan beg plastik pakai buang di kawasan hutan simpan, taman negeri, geopark serta premis perniagaan tetap di seluruh negeri ini mulai Mac tahun depan

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Exco Negeri Perak sebagai langkah memperkukuh Kempen Tiada Beg Plastik yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, larangan tersebut melibatkan kawasan di Hutan Simpan Kekal, Taman Negeri Royal Belum dan Taman Negeri Pulau Sembilan, serta kawasan tarikan pelancongan Geopark di Lenggong dan Lembah Kinta, bagi melindungi khazanah alam semula jadi yang bernilai.

“Perbadanan Taman Negeri Perak melaksanakan langkah larangan plastik ini melalui Geoguide atau jurupandu geologi di Tapak Warisan Geologi dan Geotapak, dengan menyediakan peralatan dan kelengkapan yang sesuai semasa penganjuran aktiviti.

“Di samping itu, larangan berkenaan turut melibatkan premis tetap seperti pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera dan farmasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, langkah ini pada asalnya dijadualkan bermula 1 Januari, namun kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkannya selama dua bulan bagi memberi ruang kepada rakyat dan peniaga membuat persediaan dalam tempoh peralihan.

Kata Kok Lim, larangan itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya dan tiada sebaranh alasan akan diterima daripada terus membekalkan atau menggunakan beg plastik pakai buang mulai 1 September.

Tegas beliau, langkah baharu itu dikhususkan terhadap beg plastik jenis bertali yang dibekalkan oleh peniaga kepada pelanggan untuk membawa barangan.

“Beg plastik lutsinar bertali yang digunakan di kedai kopi untuk membungkus kopi tidak tertakluk kepada larangan ini.

“Dan pada peringkat ini, pasar basah dan pasar awam juga belum dimasukkan sebagai lokasi larangan.

“Namun begitu, peniaga kecil dan pengusaha makanan juga seharusnya mula membuat persediaan untuk beralih daripada penggunaan beg plastik kepada bahan pembungkus alternatif,” jelas beliau.

Kok Lim memberitahu, selepas pelaksanaan larangan tersebut, kerajaan negeri berhasrat untuk meluaskan lagi langkah ini sama dengan memperkenalkan larangan ke atas peralatan makanan dan cawan minuman plastik pakai buang sebagai satu langkah jangka panjang, yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut lokasi yang ditetapkan.

Jelas beliau lagi, semua jabatan dan agensi kerajaan juga diarahkan untuk mengikut usaha yang sama menerusi mesyuarat, majlis rasmi dan sebarang aktiviti berkaitan.

“Antara inisiatif yang disyorkan adalah botol plastik digantikan dengan botol kaca atau jag air; mengggantikan plastik pembalut makanan pada pinggan, ceper, atau mangkuk dengan penutup makanan yang boleh digunakan semula.

“Juga disarankan untuk tidak menyediakan pinggan, ceper, mangkuk, cawan atau perkakas makan yang bersifat sekali guna serta mengelakkan penggunaan straw plastik.

“Jawatankuasa yang menguruskan penganjuran majlis dan program rasmi kerajaan negeri hendaklah memastikan bahawa penyedia perkhidmatan katering yang dilantik mematuhi arahan larangan penggunaan plastik pakai buang ini,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak akan laksana larangan sepenuhnya beg plastik sekali guna Januari 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI