SUNGAI SIPUT – Keputusan pihak berkuasa melarang kenderaan diletakkan di bahu jalan raya utama di pekan ini adalah demi keselamatan semua pihak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee.
Menurut Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Perak itu, ia disebabkan keadaan trafik yang tinggi di kawasan berkenaan, ia berpotensi untuk mencetuskan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Katanya, tambahan pula jalan tersebut merupakan Laluan Persekutuan 1 yang menjadi sebahagian daripada laluan utama menghubungkan antara utara dan selatan Semenanjung.
Walau bagaimanapun beliau berkata, pihaknya turut mengakui menerima rungutan daripada komuniti perniagaan di situ.
“Kami telah menerima banyak aduan daripada komuniti perniagaan mengenai kesukaran menjalankan perniagaan apabila jalan tidak mempunyai tempat letak kereta.
“Namun, pada masa yang sama, kami juga menerima banyak aduan mengenai bahaya meletakkan kenderaan di tepi jalan utama, terutamanya meletakkan kenderaan secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau berkata, satu pertemuan melibatkan pelbagai agensi dengan semua pihak setempat telah diadakan bagi mendapat reaksi lanjut berkenaan petak tempat letak kenderaan yang telah dihapuskan.
Sze Yee berkata, ia juga sebagai ruang untuk pihak kerajaan memberikan penjelasan sebenar kepada mereka yang terlibat susulan keputusan itu.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mahu menjadikan itu berkenaan sebagai modal politik.
“Sebarang percubaan untuk mempolitikkan isu ini hanya akan merumitkan keadaan.
“Kita mahu penyelesaian yang telus dan adil kepada semua pihak, bukannya membiarkan ia dimanipulasi untuk kepentingan politik,” tambahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Saarani turun padang santuni mangsa banjir di Gerik, Sungai Siput