IPOH – Seramai 49 pegawai dan anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri menyertai Latihan Menembak Antara Agensi yang diadakan di Lapang Sasar Terbuka Pistol, Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta, dekat sini, pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, program berkenaan turut disertai oleh tiga pegawai kanan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara sekali gus menjadikan latihan itu lebih inklusif.
Katanya, latihan yang julung kali dianjurkan itu menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara agensi keselamatan di peringkat negeri.
Ujar beliau, penganjurannya juga sejajar dengan usaha meningkatkan kesiapsiagaan serta kecekapan taktikal dalam kalangan petugas barisan hadapan pelbagai agensi.
“Kerjasama strategik seperti ini amat penting bagi memastikan keberkesanan tindak balas ketika menghadapi ancaman keselamatan yang merentasi sempadan fungsi agensi masing-masing.
“Latihan sebegini bukan sahaja menguji ketepatan dan kemahiran menembak, malah memperkukuh jaringan profesional antara agensi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, sebelum latihan bermula, semua peserta diberikan taklimat keselamatan dan prosedur penggunaan senjata api oleh Pegawai Lapang Sasar, Leftenan Maritim Syed Ramzi Sy Abdullah dan Pegawai Tapak Tembak, Pegawai Waran II Maritim Noradzman Jamil.
Mohamad Shukri berkata, latihan berkenaan melibatkan dua acara utama iaitu acara ‘precision shooting’ dan ‘falling plate’.
Ujar beliau, acara latihan turut diselangi dengan pertunjukan menembak khas oleh wakil Maritim Malaysia, MKN dan PGA yang mempamerkan disiplin tinggi serta kemahiran luar biasa dalam pengendalian senjata api.
“Majlis turut menyaksikan sesi pertukaran cenderahati antara Pengarah Maritim Perak, Pengarah MKN Perak, Mohd Zawawi Zakaria dan wakil PGA Briged Utara.
“Ia sebagai simbol penghargaan serta komitmen berterusan ke arah memperkukuh sinergi keselamatan nasional,” tambah beliau. – MG Perak