IPOH – Taman Eko Rimba Kledang Saiong akan ditutup kepada orang awam pada 30 Oktober ini bagi memberi ruang kepada Polis Perak melaksanakan Latihan Simulasi Pengurusan Bencana bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, latihan itu akan dikendalikan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kontinjen (IPK) Perak.
Menurutnya, latihan ini melibatkan penyertaan 12 agensi kerajaan yang berperanan dalam pengurusan dan tindak balas bencana di peringkat negeri.
“Sepanjang latihan dijalankan, akan terdapat pergerakan kekuatan anggota dan aset pelbagai agensi kerajaan di kawasan sekitar lokasi latihan.
“Penganjuran latihan ini bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan, koordinasi, dan kerjasama antara agensi-agensi keselamatan dan penyelamat dalam melaksanakan operasi menyelamat mangsa bencana secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat yang tidak sahih berkaitan aktiviti yang dijalankan bagi mengelakkan kekeliruan.
“Orang awam tidak perlu bimbang atau gusar terhadap sebarang insiden yang berlaku semasa latihan dijalankan kerana ia hanyalah latihan simulasi semata-mata,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pejabat Pos Menglembu ditutup susulan pelaksanaan projek perintis ‘POC’