LUMUT – Pelaksanaan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 Maharaja Lela setakat ini, mengikut perancangan ditetapkan kerajaan dan dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal LCS pertama negara itu menepati jadual ditetapkan mengikut perancangan iaitu pada Mei tahun ini, ia telah melalui proses diluncurkan ke air.
Beliau berkata, kapal itu telahpun diluncurkan ke air pada pada 23 Mei, setelah mendapat persetujuan daripada pihak yang membuat reka bentuk, pihak mengawal kualiti pembinaan dan pengguna akhir iaitu pihak TLDM sendiri, bagi menguji kestabilan dan keutuhan kapal.
“Jadi ia telah melalui proses itu dan sekarang ini ialah untuk membuat kerja memasang peralatan, perkakas atas kapal, ada yang dah dipasang, ada terus dipasang.
“Ia akan ambil masa sehingga tahun depan, pemasangan, ujian pemasangan dan sebagainya, bermakna sama ada enjin, combat system, sistem komunikasi, semua itu termasuk peralatan seperti meriam dan sebagainya.
“Selepas itu barulah dalam Disember akan dilakukan ujian di pelabuhan dan selepas semua perkakas dipasang maka akan dilakukan ujian di laut.
“Dan kalau ikut perancangan, kapal pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada Ogos Tahun 2026,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan pembinaan kapal tersebut di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), di sini pada Selasa.
Mohamed Khaled berkata, pembinaan empat lagi baki LCS juga berjalan dengan baik dan mengikut perancangan ditetapkan setakat ini.
Pada masa sama, beliau menjelaskan sesebuah kapal itu perlu melalui empat proses iaitu reka bentuk, pembinaan, pemasangan peralatan dan ujian, sebelum ia berstatus siap dan sedia digunakan secara rasmi.
“Di sinilah (tinjauan hari ini) kita lihat bahawa sekurang-kurangnya kapal dah diluncurkan (ke air). Maknanya dah nak mula ke peringkat keempat, kesemua ujian.
“Kapal ini minimum memuatkan 120 orang kelasi dan anggota, jadi dia mestilah selamat, apatah lagi nak menjalankan tugas dia sama ada rondaan, latihan, jaga kedaulatan, ancaman. Jadi dia mesti dalam keadaan kuat dan kukuh kapal ini,” katanya. -BERNAMA