KUALA LUMPUR – Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 menunjukkan penerimaan memberangsangkan daripada rakyat selepas diperkenalkan pada 27 September 2025.
Kementerian Kewangan berkata, jam 4 petang tadi, lebih 10 juta daripada 16 juta penerima yang layak atau merangkumi 62.5 peratus pengguna telah menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Ia melibatkan jumlah jualan sebanyak RM727.7 juta atau penggunaan sebanyak 365.7 juta liter.
Tambahnya, sejak pelaksanaannya pada 27 September kepada anggota polis dan tentera, diikuti dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (28 September) dan kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak (30 September) transaksi BUDI95 menunjukkan peningkatan yang positif dan memuncak ketika hujung minggu pada lebih 3 juta transaksi sehari.
“Ini menunjukkan bahawa rakyat bersedia menerima pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan secara telus, efisien dan memberikan manfaat nyata.
“Selain itu, ini juga membuktikan keberkesanan sistem digital pengesahan MyKad yang digunakan di stesen-stesen minyak lancar dan stabil,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau dan menambahbaik pelaksanaan BUDI95 dan dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal tersebut turut dilengkapi ciri semakan rekod transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna. -MalaysiaGazette