KUALA LUMPUR – Program advokasi antikeganasan seksual mendapati lebih 1,000 lelaki mengaku mereka terlibat dalam keganasan seksual, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Jelas beliau, jumlah keganasan seksual terhadap lelaki membabitkan individu sama jantina didapati melonjak dengan begitu ketara.
Bagaimanapun kesemua mangsa enggan melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa, katanya.
“Kementerian sebelum ini hanya merekodkan belasan kes sahaja tetapi ia meningkat kepada lebih 1,000 kes selepas program advokasi berkenaan dianjurkan.
“Ramai lelaki enggan melaporkan (kes keganasan) dan mereka tidak mengadu kepada polis sebaliknya tampil membuat aduan di kaunter pusat sokongan sosial (PSS).
“Jumlah ini membimbangkan sekaligus menunjukkan lelaki juga terancam (dengan keganasan). Justeru kita mahu mereka tampil membuat laporan.
“Kita maklum kes sedemikian perlu ditangani namun ia bukan terhad kepada kementerian ini sahaja sebaliknya perlu turut membabitkan masyarakat secara keseluruhan,” katanya kepada media hari ini.
Nancy berkata demikian selepas mengiringi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merasmikan Kempen Menangani Keganasan terhadap Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan di lobi Parlimen.
Dalam pada itu, Nancy menjelaskan, kempen seumpana itu akan diadakan setiap 25 November di mana ia selaras resolusi ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tambah Nancy, penganjuran kempen bertujuan mengatasi lonjakan kes keganasan terutama membabitkan kanak-kanak perempuan selain memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Kita pun tidak tahu sama ada statistik sedia ada mencerminkan jumlah sebenar kes keganasan di negara ini kerana ramai yang enggan tampil melaporkannya kepada pihak berkuasa. Masih ramai khuatir mereka atau anak akan hilang tempat bergantung jika melaporkan kes keganasan kepada pihak berkuasa.
“Namun kita akan berterusan menganjurkan program kesedaran ini supaya rakyat tahu ada bentuk keganasan, membabitkan fizikal, seksual, ekonomi dan psikologi.
“Ini juga akan menjadi platform untuk memupuk kesedaran, terutama mangsa supaya tahu yang mereka tidak bersendirian. Kita ada di sini untuk membantu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel Berkaitan: