IPOH – Lebih 1,000 masyarakat berbilang kaum dari Perak serta negeri berhampiran menunjukkan semangat patriotik dengan menyertai program Keretapi Sarong 2024 (KS24) yang diadakan di Stesen Keretapi Ipoh di sini pada Sabtu.
Peserta dari pelbagai peringkat usia dan bangsa mula berkumpul di Dataran KTM di sini, seawal jam 7 pagi.
Program yang diadakan bersempena Hari Malaysia ini dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LOCCO dan Kelab Sosial Ipoh (ISC) berjaya menghimpunkan rakyat dengan mengenakan pelbagai busana tradisional.
Pada tahun ini, KS24 bertemakan Bangga Malaysia (Proud Malaysia) yang mengangkat kelebihan jenama tempatan luar biasa yang membentuk identiti kolektif kita.
Memeriahkan lagi suasana, pelbagai nyanyian lagu patriotik dan tradisional turut disertai joget lambak antaranya, Keranamu Malaysia, Gemuruh dan Cik Mek Molek.
Penganjurnya, Irfan Azhim Zulkifli, 28, berkata, aktiviti yang sama seperti joget lambak dan nyanyian lagu lama menggamit memori dengan memakai pakaian tradisional mengikut kaum masing-masing.
“Untuk pengisian hari ini kita akan berarak ke Arlene House serta Hourglass Coffee dan melakukan beberapa aktiviti antaranya sesi suai kenal, kuiz mengenai sejarah Malaysia dan berjoget lambak.
“Pengisian sama dengan tahun sebelum ini cuma apa yang berbeza adalah pemilihan lokasi. Setiap tahun kita akan pergi ke lokasi lain dan akan mempromosikan produk tempatan di Ipoh,“ katanya ketika ditemui di Stesen Keretapi Ipoh, pada Sabtu.
Selain di Ipoh, acara utama turut berlangsung di Lembah Klang serta beberapa lokasi terpilih, iaitu di Johor Bahru, Kota Bharu, Bukit Mertajam, Alor Setar termasuk dua lokasi luar negara, iaitu Paris di Perancis dan Berlin, Jerman. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Lebih 1,000 meriahkan KS24 Ipoh […]