WCIT 2024 bakal himpunkan ulama, intelektual di USAS akhir bulan ini

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 kali ke-7 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan kerjasama Kerajaan negeri Perak yang akan diadakan bermula 29 hingga 31 Julai ini.

Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, persidangan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini bertemakan ‘Together We Stand: Muslims and Global Humanity’ dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, terdapat tujuh sub tema persidangan yang akan dibentang dan dibincangkan oleh panel-panel terkemuka dari dalam dan luar negara.

“Persidangan antarabangsa yang berlangsung selama tiga hari ini dijangka dihadiri oleh lebih 1,000 orang yang terdiri daripada para ulama, pemimpin, intelektual, profesional, dan masyarakat dalam dan luar negara.

“Tujuan utama penganjuran persidangan dwi tahunan ini adalah untuk menyediakan platform dan peluang bagi para pemikir serta masyarakat serantau serta antarabangsa untuk berinteraksi secara bebas dan mengartikulasikan pemikiran serta bertukar idea dalam persekitaran intelektual yang dinamik.

“Persidangan ini adalah satu inisiatif USAS bagi menangani masalah sebenar yang wujud dalam dunia Islam masa kini.

“Di samping itu, USAS akan cuba mengartikulasikan permasalahan-permasalahan walaupun kita tidak secara langsung terlibat tapi kita harus memahami apa yang berlaku,” katanya pada sidang media khas berhubung program tersebut di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS merangkap Pengarah Program WCIT 2024, Profesor Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera; Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS, Profesor Madya Dr Anas Md Yusof dan Setiausaha Agung WCIT 2024, Zurul Na’im Zainol Rashid.

Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia
Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof (tengah) pada sidang media berkenaan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia Ke-7 2024 (WCIT2024) di RTM Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 JULAI 2024.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat beberapa menteri kabinet serta pembentang tersohor antarabangsa akan hadir pada persidangan tersebut.

“Antara barisan menteri kabinet yang akan hadir adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar termasuklah beberapa Timbalan Menteri.

“Selain itu, persidangan ini turut mengetengahkan barisan pembentang yang tersohor termasuk nama besar di peringkat antarabangsa seperti mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla; Pengasas Medina Institute, USA, Shaykh Muhammad Yahya Al Ninowy dan Prof Gerges A Fawaz dari London School of Economics and Political Sciences yang merupakan nama yang tidak asing di media Barat dalam memberi pandangan mengenai isu berkaitan politik semasa,” jelasnya.

Beliau berkata, orang awam turut dijemput memeriahkan Karnival Pendidikan Tinggi 2024 yang akan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah sepanjang WCIT berlangsung.

Katanya, seramai 10,000 orang dijangkat akan hadir sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Pelbagai aktiviti termasuk gerai Jualan Rahmah Madani akan diadakan sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung serta WCIT 2024 Berselawat akan turut diadakan pada 29 Julai, jam 8 malam,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan suram – Sultan Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI