LENGGONG – Lebih 10,000 pengunjung hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, di sini, pada Sabtu.
Majlis anjuran Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu bukan sahaja dihadiri masyarakat Melayu yang meraikan Aidilfitri malah juga pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli.
Orang ramai mula hadir seawal jam 9 pagi dan menikmati pelbagai hidangan seperti lemang, ketupat, rendang, sate, apam balik dan pelbagai lagi juadah yang dibuka berkonsepkan gerai.
Menteri Besar Perak tiba di majlis berkenaan sekitar jam 10.30 pagi dengan disambut pengunjung yang hadir sebelum menyampaikan ucapan beliau.

Saarani dalam ucapannya berkata, meskipun zaman berubah semangat meraikan Aidilfitri tetap sama di mana mereka yang berkunjung bukan kerana sebuah majlis besar atau hidangan mewah, tetapi mahu bertemu, bersalaman, bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim.
Beliau berkata, diam tidak diam hari ini sudah memasuki 15 syawal dan kebiasaannya suasana raya mulai reda, namun sebaliknya berlaku.
“Tapi di Lenggong hari ini, Alhamdulillah kemeriahannya masih terasa. Mungkin sebab yang hadir ini bukan orang jauh ramai wajah yang kita kenal, jiran sekampung, sahabat lama, orang yang tiap-tiap tahun kita jumpa semula dalam suasana raya seperti ini.

“Sebab itu saya cukup bersyukur kerana majlis kita pada hari ini dibuat dalam suasana yang seadanya, tetapi tetap meriah dengan kehadiran Datuk-Datuj, tuan-tuan dan puan-puan semua.
“Yang penting bukan kemewahannya, tetapi kemesraan dan rasa kebersamaan yang lahir bila kita dapat duduk bersama,” katanya.
Saarani kemudiannya menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir bersama Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.


