Lebih 15,000 pili bomba rosak perlu diganti segera

KUANTAN – Terdapat 15,724 pili bomba mengalami kerosakan serius tahun lepas dan perlu diganti sepenuhnya dengan segera.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu merupakan tiga peratus daripada keseluruhan 422,472 pili bomba awam dan swasta yang terdapat di negara ini.

Beliau berkata, antara kerosakan yang direkodkan termasuklah pili bomba diturap dengan tar, tanah dan pasir; kebocoran, batu `H’ dan tiang bomba patah serta injap patah, ketat dan tidak berfungsi.

“Kita sudah arahkan untuk buat pemeriksaan dan pemantauan terhadap pili bomba yang terdapat di kawasan masing-masing. Jika sebelum ini, ia (pemeriksaan) dilakukan setahun sekali, sekarang kita akan periksa sehingga tiga kali dalam setahun.

“Tempat-tempat yang kita jangka respons kebakaran melebihi 10 minit ini kita tidak boleh gagal dengan ketidakupayaan untuk pili bomba bekalkan air,” katanya.

Nor Hisham berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 78 orang pegawai dan kakitangan JBPM Negeri Pahang terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023, manakala lima individu dianugerahkan Sijil Perkhidmatan 30 tahun.

Dalam pada itu, Nor Hisham menasihatkan orang ramai, terutamanya pengusaha ladang untuk lebih peka dengan keadaan cuaca semasa sebelum melakukan aktiviti pembakaran terbuka.

Katanya, pihak Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca kering dan panas luar biasa selepas Monsun Timur Laut tahun (MTL) ini.

“Kita sudah minta pengusaha ladang atau pemilik tanah bersempadan dengan ladang untuk menyediakan kolam takungan sebagai langkah awal jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Cuaca panas kali ini dijangka lebih kering berbanding tahun sebelumnya, jadi kemungkinan berlakunya kebakaran hutan atau belukar sangat tinggi,” katanya.

Nor Hisham sebelum ini memberitahu, lebih 400 lokasi panas telah dikenal pasti berisiko mengalami kebakaran susulan ramalan cuaca lebih kering memasuki Mac 2024.

Beliau berkata, kesemua lokasi membabitkan kawasan gambut, kawasan pelupusan sampah haram dan kawasan pusat pelupusan sampah yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI