PARIT – Lebih 2,000 hadir memeriahkan Majlis Kenduri Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota di pekarangan Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar Perak di sini, pada Ahad.
Orang ramai mula memenuhi khemah yang disediakan seawal jam 10 pagi diikuti ketibaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sekitar jam 11.15 pagi.
Sebanyak tiga ekor lembu ditumbangkan dan dimasak gulai serta kari pada kenduri anjuran Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Bota itu.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Bota, Sarah Syazwani Saari berkata, kenduri rakyat tersebut diadakan bagi memberi ruang rakyat di DUN Bota berkumpul bersama keluarga, kenalan dan merapatkan silaturahim.

Katanya lagi, ia juga bersifat serampang dua mata di mana masyarakat yang hadir dapat mengetahui fungsi dan peranan Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Bota.
“Alhamdulillah hari ini kita berjaya mengumpul masyaraka DUN Bota lebih 2,000 orang dan segala persiapan telah dilaksanakan selama seminggu bagi menjayakan kenduri ini.
“Kami mula berkampung di sini dari semalam dengan bergotong-royong menyembelih tiga ekor lembu dan di sebelah malam kita mengadakan persembahan rebana dan makan malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Rakyat DUN Bota di sini, pada Ahad.
Sarah Syazawani turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak atas kesudian meluangkan masa menikmati hidangan kenduri rakyat serta menyantuni penduduk DUN Bota. -MG Perak


