IPOH – Lebih tiga juta kenderaan dijangka memasuki Perak melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan jalan Persekutuan pada hari puncak menjelang Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Timbalan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perak, Datuk Norsham Rahman berkata, kemasukan kenderaan itu dijangka akan bertambah pada waktu puncak iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan tersebut.
Beliau turut menggalakkan pengguna jalan raya di negeri ini bukan sahaja menggunakan laluan PLUS tetapi turut menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
”Pengguna jalan raya juga disarankan membuat persiapan rapi bukan saja dari segi fizikal (khususnya pemandu) malah memastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik.
“Selain itu, pengguna lebuh raya digalakkan supaya mematuhi cadangan waktu perjalanan (TTA) yang ditetapkan PLUS bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Selamat di Jalan Raya sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di pasar raya besar Lotus’s, Bercham, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Di samping itu, Norsham turut menasihatkan pengguna jalan raya disarankan berhati-hati dan bersabar untuk ke destinasi masing-masing serta berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan supaya mereka tiba ke lokasi dengan selamat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
2.6 juta kenderaan guna lebuh raya utama sempena sambutan Tahun Baharu Cina – LLM