Lebih 300 kanak-kanak di Perak terlibat jenayah membimbangkan

KONVENSYEN Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001 memberi takrifan bahawa kanak-kanak adalah seseorang yang berada di bawah umur 18 tahun.

Dalam konteks negara, kanak-kanak adalah kumpulan penting dalam kerangka masyarakat kerana mereka adalah aset serta penerus kepada pembangunan negeri dan negeri pada masa hadapan.

Justeru, keselamatan, hak dan kepentingan golongan rentan itu perlu dititikberatkan semua pihak baik pemerintah, mahupun marhaen.

Kanak-kanak perak anak-anak mangsa jenayah masyarakat negeri negara masa depan golongan pengaruh unsur
Gambar hiasan: Guru memakaikan pakaian ihram kepada jemaah cilik ketika Program Simulasi Little Hajj 2024 Zon Perak anjuran tadika Little Caliphs di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 JUN 2024.

Malah, Dasar Kanak-Kanak Negara yang digubal telah menggariskan antara lain kanak-kanak berhak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan sebagainya.

Namun, laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak baru-baru ini mendedahkan 343 kanak-kanak dilaporkan terlibat dalam kegiatan jenayah di negeri itu bagi tempoh 2022 sehingga 19 Jun 2024.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Salbiah Mohamed dilaporkan berkata, jenayah melibatkan dadah merekodkan angka tertinggi dengan 85 kes.

Kanak-kanak perak anak-anak mangsa jenayah masyarakat negeri negara masa depan golongan pengaruh unsur
Gambar hiasan: Kanak-kanak hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah di Dewan Datuk Azman Mahalan, Kuala Dipang, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 MEI 2024.

Bercakap kepada MG Perak, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan menyifatkan situasi itu adalah sesuatu yang membimbangkan.

Katanya, ini kerana kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah lazimnya menghadapi risiko kesan jangka panjang terutamanya dalam soal melibatkan kesihatan mental dan emosi.

Justeru ujar beliau, tindakan serius perlu diambil bagi memastikan anak-anak dapat dilindungi dengan diberikan persekitaran selamat daripada terdedah kepada sebarang unsur jenayah.

Kanak-kanak perak anak-anak mangsa jenayah masyarakat negeri negara masa depan golongan pengaruh unsur
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan

“Antara tindakan yang perlu diambil adalah meningkatkan kesedaran tentang faktor-faktor yang menyebabkan golongan itu terlibat dalam jenayah, dan memperbaiki sistem sokongan untuk kanak-kanak di rumah atau sekolah.

“Selain itu, perlu disediakan kaedah pembetulan yang sesuai untuk membantu kanak-kanak yang telah menjadi mangsa dalam jenayah.

“Di sini perlunya kerjasama antara institusi-institusi seperti keluarga, sekolah, agensi kerajaan, dan masyarakat tempatan bagi mengatasi masalah ini secara holistik,” katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak pada masa kini perlu dibimbing dan dilindungi dengan berkesan agar mereka dapat berkembang menjadi individu yang cemerlang serta berdaya maju dalam masyarakat.

Kemiskinan, perpecahan keluarga antara punca

Menurut Abdul Halim, kemiskinan dan perceraian ibu bapa antara faktor yang menjadi punca kepada situasi kanak-kanak menjadi mangsa kepada kegiatan jenayah.

gambar hiasan: Kanak-kanak beriadah ketika tinjauan MalaysiaGazette di PPR Kerinchi, Pantai Dalam. Foto SADIQ SANI, 07 JUN 2024

Jelas beliau, faktor kemiskinan meningkatkan lagi risiko kerana anak-anak berada dalam persekitaran yang tidak stabil serta kekurangan sumber yang diperlukan untuk perkembangan jasmani dan rohani.

Kata beliau, selain kurang pengawasan, perpecahan keluarga juga memberi kesan sama apabila pengaruh tidak baik mula ditonjolkan ibu bapa yang tidak sehaluan.

Abdul Halim berkata, ia seterusnya membuatkan anak–anak akan mula mencari orang lain bagi mendapatkan kasih sayang ibu bapa, dan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada mereka menjadi mangsa jenayah.

“Di samping itu, antara faktor lain yang boleh mengheret kanak-kanak kepada jenayah adalah gangguan dan cabaran emosi serta pengaruh negatif daripada rakan sebaya.

“Selain daripada aktiviti jenayah rakan sebaya, aksi ganas seperti buli yang ditonjolkan dalam media (melalui filem dan drama) antara bibit-bibit jenayah yang paling mudah untuk terdedah,” katanya.

Gambar hiasan: Kanak-kanak bermain dengan sebuah robot yang dipamerkan Petrosains pada Minggu Latihan Kebangsaan 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2024

Ujar beliau lagi, seterusnya ketidakseimbangan atau kekurangan akses kepada pendidikan berkualiti juga boleh mengakibatkan kanak-kanak tidak mempunyai pengetahuan yang cukup terhadap penilaian risiko.

Jelas beliau, mereka adalah golongan naif dan situasi itu sedikit sebanyak menjadi penyebab untuk mereka mudah untuk berada dalam keadaan berbahaya.

Kerajaan negeri perlu bertindak

Kerajaan Negeri sebagai punca kuasa disarankan untuk memperkenalkan program pendidikan dan kesedaran yang mencakupi skop jenayah dan kesannya kepada kanak-kanak.

Justeru jelas Abdul Halim, ia boleh dilaksanakan di peringkat sekolah-sekolah dan komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berhubung perkara itu.

Menurut beliau, perkhidmatan sokongan keluarga yang berkualiti melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) boleh membantu mengurangkan faktor risiko jenayah kepada kanak-kanak.

Gambar hiasan: Kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna pada majlis perasmian Minggu Promosi Kesihatan Pergigian anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 JULAI 2024.

“Seterusnya, kerajaan negeri harus memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dijamin dalam membentuk masa depan golongan itu.

“Kerjasama boleh melibatkan institusi pendidikan seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan universiti termasuk UPSI yang menyediakan kemudahan pembelajaran serta sokongan akademik,” katanya.

Selain menyelaras agensi kerajaan dengan komuniti, Abdul Halim mengutarakan pandangan untuk undang-undang dalam soal keselamatan kanak-kanak dapat diperkasakan.

Gambar hiasan: Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

“Kerjasama dengan pihak polis juga boleh dilakukan dalam meningkatkan sistem keadilan belia yang berkesan demi melindungi anak-anak ini daripada menjadi mangsa jenayah.

“Melalui semua langkah ini, semua pihak baik pihak kerajaan, swasta dan masyarakat tempatan digesa memainkan peranan untuk mencipta persekitaran yang lebih selamat untuk generasi akan datang,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Terlibat dengan dadah kes tertinggi kegiatan jenayah kanak-kanak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI