IPOH – Lebih daripada 35,000 orang pengunjung hadir memeriahkan Program Finale Tahun Melawat Perak 2024 dan sambutan tahun baharu 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, malam tadi.
Orang ramai sudah mula membanjiri acara yang dianjurkan Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak itu seawal jam 8 malam.
Ia dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta dihadiri termasuk, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Program berkenaan dimulakan dengan acara nyanyian dan segmen kuiz pengunjung sebelum atur cara rasmi bermula sekitar jam 10.15 malam.
Persembahan gabungan seni mempertahankan diri daripada pelbagai kaum di Negeri Perak membuka tirai acara rasmi berjaya mengamit perhatian yang hadir.
Ia dipersembahkan termasuk daripada kumpulan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam, Akademi Nitriya Kalanjali, Kumpulan Sewang Serayoq Kemar serta Persatuan Silambam Malaysia Negeri Perak.
Selain itu, Finale Tahun Melawat Perak 2024 turut diserikan dengan persembahan daripada Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP), persembahan puisi ‘Pahlawan Tak Diduga’, serta persembahan tarian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak.
Pada masa sama, Saarani juga menyempurnakan pelancaran naskah dan logo pakej ‘Coffee Trails Of Perak’ serta hadiah Pertandingan Perak Passport dan Videografi Perak Trip.
Pengiraan detik ambang tahun baharu 2025 menjadi acara kemuncak apabila ia pertunjukan bunga api menjadi penyeri acara sebelum diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa.
Ia kemudian diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi terkenal tanah air iaitu Ramlah Ram dan Tomok apabila masing-masing tampil dengan lagu-lagu malar segar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tahun Melawat Perak 2024 lepasi sasaran, tarik 8.4 juta pelancong