BAGAN DATUK – Lebih 40,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor maritim dan logistik dijangka terhasil dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini secara tidak langsung membuka ruang lebih luas kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menyertai pasaran kerja global berimpak tinggi.
Katanya, unjuran itu selari dengan perkembangan pesat sektor maritim global yang sedang memasuki fasa kebangkitan baharu.
“Industri maritim masa kini merangkumi kejuruteraan kapal, teknologi marin, automasi perkapalan, logistik pelabuhan, penyelenggaraan, serta bidang kemampanan laut dan semuanya menuntut kepakaran teknikal tinggi dan inovasi berterusan,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) di sini pada Khamis.
Pemasyhuran disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan, menurut laporan antarabangsa, sektor maritim global dijangka berkembang 4.7 peratus setahun, sementara lebih 80 peratus perdagangan dunia berlayar melalui lautan.
“Malaysia yang dianugerahi 4,500 kilometer garis pantai dan pintu gerbang Selat Melaka berada pada kedudukan strategik utama dalam laluan perdagangan dunia,” ujarnya.
Jelas beliau, kelebihan geografi serta pertumbuhan industri yang pesat menjadikan sektor maritim antara pemacu utama peluang kerjaya masa depan, khususnya dalam bidang teknikal dan teknologi tinggi.
Tambahnya, tenaga mahir TVET perlu dipersiapkan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin kompleks, berteknologi tinggi dan berorientasikan kemampanan.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa mengangkat institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sebagai tiang seri ekosistem pendidikan tinggi negara, khususnya dalam memperkasa agenda TVET sebagai pemacu kemajuan sosioekonomi dan kemahiran nasional.
“Institusi ini bukan sahaja gedung ilmu, tetapi jambatan yang menghubungkan hikmah akademia dengan denyut nadi industri, agar graduan memiliki kemahiran sebenar yang dituntut oleh pasaran kerja yang serba dinamik.
“Keupayaan POLYCC melahirkan tenaga separa profesional telah lama menjadi tulang belakang pelbagai sektor teknikal dan kini semakin menyerlah dalam sektor maritim,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan isytihar pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah


