IPOH – Sebanyak 46,390 kekosongan jawatan aktif direkodkan di Perak setakat Julai lalu sekali gus membuka peluang kepada rakyat di negeri ini untuk mendapatkan pekerjaan melalui platform yang disediakan kerajaan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, ia merupakan usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam terus mengurangkan angka pengangguran yang harus direbut masyarakat.
“Selain daripada mengambil bahagian dalam Mini Karnival Kerjaya, saya menggalakkan semua untuk mendaftar di Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di bawah kelolaan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), untuk mencari pekerjaan dengan lebih mudah dan efisien.
“PERKESO telah mewujudkan program seperti ini, untuk dijadikan medium bagi pihak PERKESO menyalurkan bantuan kewangan segera kepada para pekerja yang telah kehilangan pekerjaan melalui faedah Akta Sistem Insurans Pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Perasmian Program Penyerahan Cek Cura dan Karnival Mini MyFutureJobs, di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Pengarah PERKESO Negeri, Khairul Mizan Md Said.
Menurut Sivanesan, kadar pengangguran negara yang meningkat sebelum ini berpunca daripada kemelesetan ekonomi kesan daripada wabak COVID-19 telah menurun dan berada pada tahap terkawal.
Kata beliau, ia merupakan antara hasil pelbagai inisiatif kerajaan khususnya PERKESO melalui program kebolehpasaran, karnival kerjaya, sesi temu duga, program latihan dan peningkatan kemahiran serta bimbingan kaunseling.
“Kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama bersama PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam melaksanakan program penempatan pekerjaan melalui MYFutureJobs.
“Saya juga difahamkan bahawa portal ini dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) yang mampu membuat padanan pekerjaan dengan tepat, berdasarkan kekosongan jawatan serta kelayakan dan kemahiran para pencari kerja,” katanya lagi.
Pada masa sama Sivanesan menyarankan agar masyarakat di Perak untuk memanfaatkan perlindungan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dilaksanakan PERKESO sejak Januari 2018.
“SIP juga adalah salah satu platform dimana melindungi para pekerja yang telah diberhentikan kerja dengan menyediakan bantuan kewangan segera kepada para pekerja,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Balu dua anak terima terima pencen penakat Perkeso