MELAKA – Sebanyak 532,125 nahas jalan raya direkodkan sejak Januari hingga Oktober lepas, dengan 5,364 daripadanya melibatkan kemalangan maut, dan 68 peratus daripada kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata situasi itu menunjukkan penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu diperkukuh secara berkesan dan berterusan di setiap peringkat lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan penunggang serta pembonceng motosikal.
“Justeru Klinik Penunggangan Selamat adalah satu pengisian Program Komuniti Keselamatan Jalan Raya bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2024 (WDOR 2024).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Keselamatan Jalan Raya WDOR 2024 di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Ayer Molek di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Jazmanie Shafawi.
— BERNAMA