Lebih ramai bekas ahli dijangka kembali sertai UMNO selepas Aidilfitri – Saarani

IPOH – UMNO Perak menjangkakan ramai bekas ahli dan pemimpin parti akan kembali menyertai parti itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi inisiatif itu parti terbuka untuk menerima kembali keahlian mereka namun ia dilaksanakan tanpa sebarang syarat.

Kata beliau, konsep tanpa syarat itu perlu dipatuhi termasuk tiada sebarang tuntutan bagi kedua-dua pihak dalam usaha penyertaan semula kepada UMNO.

“Kita tak bagi syarat, mereka pun tak bagi syarat. Jika dia letak syarat untuk kembali kepada UMNO dan hendak jadi ketua cawangan, itu tidak boleh.

“Dan setakat ini kita belum ada dengar apa-apa berita di peringkat negeri Perak (untuk bekas ahli dan pemimpin untuk kembali kepada UMNO)

“Dengar-dengar ramai orang nak datang (kepada UMNO), tetapi belum ada (setakat ini). Saya ingat mungkin selepas hari raya baru berbondong-bondong orang akan memohon untuk kembali kepada UMNO,” katanya.

bekas ahli UMNO kembali sertai UMNO selepas Aidilfitri Rumah Bangsa UMNO, Saarani Mohamad UMNO Perak, bekas pemimpin UMNO kembali, penyatuan ahli UMNO, UMNO Perak selepas Aidilfitri
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyerahkan juadah hari raya kepada Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin (kanan) pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan Kepada Pasukan Badan Beruniform Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 MAC 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Badan Beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Media sebelum ini melaporkan, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Januari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana bekas pemimpin dan ahli.

Mengulas kemungkinan sebahagian bekas pemimpin atau ahli memilih wadah politik lain, Saarani berkata, UMNO menghormati keputusan individu dan tidak akan memaksa sesiapa untuk kembali menyertai parti tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, sekiranya terdapat individu yang memilih untuk kembali bersama UMNO, parti itu sentiasa mengalu-alukan penyertaan mereka.

“Kalau ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk kembali bersama UMNO, kita alu-alukan.

“Namun kalau mereka merasakan mahu memilih ‘kenderaan’ politik lain sama ada menubuhkan parti baharu atau menggunakan parti lama yang dihidupkan semula, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

“Kita tidak boleh memaksa untuk memilih kita, namun jika ada dalam kalangan mereka memilih untuk kembali bersama dalam UMNO, kami sedia terima mereka.

“Namun kalau dia rasa dia hendak pilih ‘vehicle’ (parti) baru pun kita tak dapat menghalang. Saya tak dapat beri komen panjang tentang itu sebab dia terpulang kepada individu masing-masing,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya tentang pertemuan semua Ketua UMNO Bahagian di Perak dengan Ahmad Zahid pada bulan lalu, Saarani berkata, ia diadakan sebagai memberi penjelasan berkenaan perkembangan politik semasa selain memperkukuh kesepaduan parti menjelang cabaran politik akan datang.

Saarani memberitahu, dalam pertemuan itu Ahmad Zahid mengingatkan supaya kepimpinan dan ahli parti tidak terlalu memikirkan pergolakan dalam parti lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh UMNO.

“Pesanan beliau sangat mudah, jangan terlalu ambil kisah apa yang berlaku dalam parti lain. Yang penting kita perlu memperkukuh UMNO.

“Jangan ada pergolakan, perbalahan dan perbezaan pendapat, kerana untuk berhadapan dengan pilihan raya, pastikan UMNO kuat. Apabila kita kuat, maka ramai kawan dan lawan akan hendak berkawan dengan kita,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Konsep ‘Rumah Bangsa’ Tidak Tertumpu Individu Tertentu- Zambry

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI