Lebih separuh pendeposit TH ada simpanan kurang RM1,300

KUALA LUMPUR – Seramai 53 peratus dari 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar, berkata, pada masa sama, 50 peratus jemaah haji bagi tahun 2025 yang terpilih telah menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan.

Katanya, mengambil kira kesemua faktor ini dan berdasarkan data dan trend kajian yang teliti telah dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan inisiatif bagi memastikan agensi kekal relevan khususnya untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

“Justeru, inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan TH sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam Malaysia.

“Matlamat inisiatif ini adalah untuk menyusun semula strategi bagi meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.

“Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan dan bukan secara organik,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan bagi projek itu yang sudah dimuktamadkan dan sumber kewangan digunakan.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menjelaskan, TH telah mengesahkan peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama ini adalah berjumlah RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.

Kata beliau, setakat ini, TH telah membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa selari dengan tempoh masa yang dipersetujui.

“TH masih memperhalusi kerja-kerja lanjutan yang diperlukan bagiinisiatif peremajaan jenama dan ia masih belum dimuktamadkan.

“Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain yang dimeterai setakat ini.

“Peruntukan ini juga mengguna pakai peruntukan bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI