Legasi kicap Hup Teck ‘melabuhkan tirai’ sehari sebelum Tahun Baharu Cina

GOPENG – Legasi kicap Hup Teck yang diusahakan secara tradisional lebih satu abad lalu di Kampung Rawa Baru di sini akhirnya ‘melabuhkan tirai’ sehari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

MG Perak bersama rakan media lain sempat singgah ke rumah kayu satu tingkat pagi ini bagi melihat sendiri kilang pembuatan kicap yang beroperasi sejak tahun 1914.

Pengusahanya, Low Pak Tong, 72, kelihatan tenang ketika menguruskan pelanggan yang datang untuk membeli stok bekalan kicap terakhir di kilang tersebut.

Dia yang mengenakan kemeja corak kotak kuning biru dan berseluar pendek tetap mengukir senyuman walaupun di dalam hatinya mungkin menyembunyikan perasaan sedih apabila perniagaan yang diusahakan bapanya terpaksa ditutup selepas beroperasi selama 111 tahun.

Legasi kicap Hup Teck ‘melabuhkan tirai’ sehari sebelum Tahun Baharu Cina
Pengusaha Kilang Kicap Hup Teck, Low Pak Tong, 72 (kanan) menjual botol kicap pelanggannya ketika tinjauan MG Perak di Kampung Rawa Baru, Gopeng, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JANUARI 2025.

Pak Tong adalah generasi kedua dan terakhir yang mengusahakan perniagaan yang diasaskan oleh bapanya, Low Kong, seorang imigran dari Guangzhou, China dan meneruskan legasi perniagaan itu selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 1983.

Anak sulung daripada dua beradik itu mengambil alih perniagaan tersebut dua tahun selepas kematian bapanya serta diteruskan bersama dua rakan kongsi, Poon Yook Kwan dan Liew Hin Tuck.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas tiada pewaris yang mahu untuk mahu menyambung perniagaan warisan tersebut.

Tambahnya, dia juga tidak mampu untuk meneruskan operasi kilang tersebut atas faktor usia dan kesihatan.

Legasi kicap Hup Teck ‘melabuhkan tirai’ sehari sebelum Tahun Baharu Cina
Pengusaha Kilang Kicap Hup Teck, Low Pak Tong, 72, bergambar ketika tinjauan MG Perak di Kampung Rawa Baru, Gopeng, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JANUARI 2025.

“Sekarang saya sakit sana sini dan mudah letih. Nak angkat barang berat pun susah. Ada dua orang partner (rakan kongsi) tapi anak-anak mereka sudah bekerja di luar.

“Sepatutnya, kilang ini tutup Disember lalu tapi saya ambil keputusan untuk tutup pada Januari bagi memberi peluang kepada pelanggan setia membeli stok kicap terakhir sebelum Tahun Baharu Cina,“ katanya.

Katanya, untuk stok kicap terakhir cuma ada 150 botol sahaja dan dijual kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat meneruskan perniagaan ini serta terima kasih juga diucapkan kerana menjadi pelanggan setia dan menyokong kicap kami dari awal sehingga ke hari ini.

“Sudah sampai masanya untuk saya berehat. Selepas ini saya mahu beri tumpuan menjaga ibu saya yang sudah berusia 101 tahun,“ ujarnya.

Legasi kicap Hup Teck ‘melabuhkan tirai’ sehari sebelum Tahun Baharu Cina
Pengusaha Kilang Kicap Hup Teck, Low Pak Tong, 72, melihat botol kicap yang sedia dijual kepada pelanggan ketika tinjauan MG Perak di Kampung Rawa Baru, Gopeng, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JANUARI 2025.

Penghasilan kicap melalui proses penapaian menggunakan gabungan bahan utama seperti kacang soya, tepung gandum, gula dan garam.

Bahan tersebut dimasukkan ke dalam 100 tempayan dan dibiarkan di bawah terik matahari selama tiga bulan bagi membolehkan sifat semula jadi kicap terbentuk.

Demi mengekalkan keaslian rasa kicap, Pak Tong meneruskan tradisi pembuatan tersebut yang sehingga kini menjadi buruan pelanggan setianya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:kicap

Nasi Kandar Kayu sudah berusia 50 tahun, terus memahat legasi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI