KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya sebelum mengambil nyawa sendiri dalam kejadian di Sunway SPK Damansara, Kepong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, mayat pasangan warga tempatan itu ditemukan terbaring di dalam bilik dengan keadaan berlumuran darah sebelum dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut pada 11.43 pagi.
“Motif pembunuhan dipercayai kerana perselisihan faham antara suami isteri itu dan dipercayai lelaki itu membunuh isterinya sebelum menamatkan riwayatnya sendiri.
“Mayat kedua-dua mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur dan proses bedah siasat dijalankan, hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan perlakuan jenayah di minta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” katanya. -MalaysiaGazette


