Lelaki dakwa dipukul anak bekas wakil rakyat bergelar Datuk

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan video tular memaparkan sekumpulan individu bergaduh di sebuah kafe di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, berlaku pada 11 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan menerima laporan daripada lelaki berusia 18 tahun yang juga mangsa dua hari selepas kejadian.

“Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa mendakwa dia dan dua rakannya dipukul tiga individu termasuk anak kepada bekas seorang wakil rakyat bergelar Datuk di negeri ini ketika sedang membeli air di kafe berkenaan.

Ketika melakukan urusan pembelian itu, mangsa didatangi dua lelaki dan seorang wanita sebelum salah seorang daripadanya bertindak memukul bahagian muka mangsa.

Bagaimanapun, dua rakan mangsa yang terdiri daripada lelaki berusia 19 tahun serta wanita berumur 26 tahun cuba meleraikan pergaduhan itu namun mereka turut ditumbuk serta ditendang.

Susulan itu, mangsa beredar dari tempat kejadian sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut dua hari kemudian.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 43 saat memaparkan sekumpulan individu terdiri daripada lelaki dan wanita bergaduh di sebuah lokasi.

Berdasarkan video itu, suspek dilihat turut menumbuk seorang wanita. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI