Lelaki diberkas, tak sempat joli duit jual kasut curi

BAYAN LEPAS – Seorang lelaki yang berangan mahu berjoli dengan hasil jualan sepasang kasut jenama Adidas bernilai RM600 yang dicurinya terbantut selepas dia diberkas polis di rumahnya di Batu Uban dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 22 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa berhubung kecurian yang berlaku di unit kediamannya di sebuah kondominium di Lengkok Kelicap.

Jelas beliau, pihaknya berjaya mengesan lelaki berkenaan berdasarkan imej yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.

“Berpandukan kepada rakaman CCTV itu, kita mengenal pasti suspek sebelum diberkas di rumahnya pada jam 11.20 malam.

“Kita turut menemui semula kasut berjenama Adidas berwarna merah yang bernilai RM600 di bahagian ruang tamu rumah suspek,” katanya hari ini.

Tambah Kamarul, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut mengaku mencuri kasut itu untuk dijual kepada orang lain.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau namun hasil ujian air kencing, dia negatif dadah.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI