GERIK – Seorang lelaki dikhuatiri hanyut selepas bot yang dinaikinya ditemui dalam keadaan separuh tenggelam di Sungai Perak berhampiran Jeti Awam Kampung Pulau Belayar, di sini pada Ahad.
Mangsa, Azri Md Sharif, 53, dipercayai keluar menjala ikan di sungai itu petang semalam dan penduduk kampung yang mencari ikan di lokasi sama telah menemui beberapa barang dipercayai milik mangsa antaranya selipar, pukat dan tong petrol di sekitar kawasan tersebut.
Difahamkan, ahli keluarga mangsa telah turun mencari mangsa dan menemui bot dinaikinya tenggelam anggaran jarak 500 meter dari jeti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar jam 11.03 malam tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati, kira-kira jam 3.30 petang, mangsa telah keluar menjala ikan di sungai tersebut berhamipran jeti berkenaan dengan menaiki bot miliknya.
“Namun pada jam 8.30 malam, isteri mangsa berusia 50 tahun menerima panggilan telefon daripada adiknya yang memaklumkan bahawa penduduk kampung menemui barang-barang milik mangsa terapung di permukaan air berhampiran jeti,” katanya dalam satu kenyataan hari pada Isnin.
Menurutnya, bot yang dinaiki mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan separuh tenggelam tidak jauh dari lokasi.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.18 pagi tadi.
“Seramai 32 anggota daripada bomba, polis dan APM terlibat dalam operasi SAR. Hasil perbincangan dengan pihak polis, pencarian dilakukan dengan kaedah surface searching di sekitar sungai, khususnya di lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Jarak lokasi kejadian dianggarkan kira-kira 700 meter dari jeti, dengan kedalaman air sekitar satu meter.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut dimaklumkan dan kini dalam perjalanan ke lokasi bagi membantu operasi dan SAR masih dijalankan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Remaja 15 tahun hilang, kali terakhir dilihat di bilik tidur