IPOH – Insiden seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, pada Jumaat.
Individu berkenaan turut disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum terjatuh ke dalam empangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, seorang lagi mangsa yang terperangkap di tebing empangan telah diselamatkan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian mencuri kabel di kawasan pencawang TNB di empangan tersebut pada jam 12.40 pagi Jumaat.
“Kira-kira 10 minit kemudian Balai Polis Tanjung Rambutan menerima maklumat daripada Balai Polis Tambun berkaitan kejadian lelaki dipercayai mati lemas berhampiran lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri lemas masih lagi dijalankan oleh pasukan bomba.
“Suspek disyaki lemas masih belum ditemui selain kawasan kejadian merupakan kawasan empangan berisiko tinggi,” tambahnya.
Pada Jumaat media melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi selamat selepas dilaporkan terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang masih hilang berusia 32 tahun, dan yang selamat berusia 34 tahun. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki hilang dikhuatiri lemas di Empangan Sultan Azlan Shah


