Lelaki dipercayai pencuri sawit cedera ditembak

BATU GAJAH – Seorang lelaki dipercayai pencuri kelapa sawit cedera di kaki kiri terkena tembakan peluru penabur di kebun kelapa sawit di Kampung Sumpit Beras, Selama dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya mendapati mangsa berusia 32 tahun itu turut disyaki mencuri hasil di kebun kelapa sawit.

Menurutnya, mangsa juga dipercayai mengambil bahan terlarang (dadah) kerana berada dalam keadaan khayal ketika dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kita akan menyiasat dari aspek siapa yang melepaskan tembakan, sama ada pemilik kebun ataupun bukan. Selain itu, mangsa juga akan disiasat kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kelapa sawit dan menagih dadah.

“Mangsa terbabit berada dalam keadaan stabil dan kita akan menjalankan siasatan apabila  dia berada dalam keadaan yang normal,” katanya yang turut memaklumkan kejadian tembakan itu berlaku sekitar jam 7.50 malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Polis Diraja Malaysia (PDRM) anjuran Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Gajah di Dewan Konvensyen Pusing di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizi berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan polis daripada pemilik kebun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu menyebabkan cedera dengan senjata tanpa alasan yang sah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik-pemilik kebun supaya tidak mengambil tindakan bersendirian yang melampaui batasan undang-undang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Taman Pusing Baru, Indian Settlement dan Dataran Bemban Jaya dipilih sebagai Taman Angkat Amanita PDRM Perak bagi daerah ini.

Ujar Azizi, pemilihan taman tersebut berasaskan kepada beberapa faktor antaranya penduduk sekitar melibatkan tiga kaum utama.

“Di sini ada kaum Melayu, India dan Cina. Apabila kita melihat berhubung perlunya kita memberi pendedahan, nasihat di bawah program Amanita maka pada hari ini kita turun untuk mengadakan program berbentuk kesedaran khususnya untuk suri rumah serta penduduk setempat,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki warga Thailand maut ditembak di kepala

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI