IPOH – Bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di Taman Kledang Jaya di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima makluman berhubung tersebut sekitar jam 11.26 pagi selepas jiran terhidu bau kurang menyenangkan dari kediaman berkenaan.
Menurutnya, anggota kemudiannya telah ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam rumah tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian.
“Mangsa yang berusia 52 tahun itu dipercayai mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk kencing manis, darah tinggi dan kolesterol, selain pernah mengalami serangan angin ahmar ringan serta sedang menerima rawatan susulan di fasiliti kesihatan berhampiran.
“Setakat ini, kematian mangsa dipercayai tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


