PARIT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang disyaki hilang selepas dipercayai mandi berhampiran Sungai Perak di Sungai Baru Labu, Bota Kiri, Seri Iskandar, dekat sini, kini ditumpukan kepada kawasan pencarian di darat.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, ia susulan seorang saksi mendakwa ada terlihat mangsa menaiki motosikal bersama seorang rakan ke kebun sawit berhampiran sebelum ini.
Katanya, saksi yang tampil di Pos Kawalan Bomba (PKB) pada jam 4.35 petang memaklumkan lelaki berkenaan dilihat menaiki kenderaan terbabit dengan tidak memakai baju pada sehari selepas dia dilaporkan hilang.
“Setelah melakukan perbincangan bersama pihak polis, ketua operasi bomba telah menamatkan pencarian di air berdasarkan maklumat yang diberikan oleh saksi awam.
“Operasi kini ditumpukan kepada pencarian di darat dan masih lagi diteruskan. Namun, setelah pencarian di darat dilakukan, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Shazlean berkata, atas faktor keselamatan operasi SAR berkenaan ditangguhkan pada jam 6.40 petang dan dijangka akan bersambung semula pada 8.30 pagi Sabtu.
Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nurman Mohd Nor, 27, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar menguruskan lembu ternakan pada jam 2 petang Rabu lalu.
Malah pakaian iaitu baju milik lelaki terbabit turut ditemukan di lokasi.
Mengulas tentang operasi SAR, Shazlean memberitahu, ia melibatkan 13 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) seramai empat orang dan Unit Anjing Pengesan (K9) bersama tiga pengiring.
Kata beliau, turut serta, 12 anggota polis serta tujuh nelayan tempatan yang membantu menggunakan bot masing-masing.
“Pasukan PPDA mendapai pencarian di dua lokasi di sungai adalah berisiko kerana arus air yang laju serta terdapat halangan dalam air berupa cerucuk-cerucuk konkrit yang boleh mendatangkan bahaya.
“Pencarian di air hanya menggunakan kaedah pencarian pada permukaan, bermula dari lokasi mangsa dipercayai hilang sehingga ke jeti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Teluk Sena,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki dipercayai hilang selepas mandi sungai