KUALA KANGSAR – Seorang lelaki yang hilang sejak Jumaat minggu lalu selepas dipercayai terjatuh di Sungai Cempias dekat sini ditemukan lemas, pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai, Nor Affendi Yusoff, 35, ditemukan pasukan bomba ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa telah ditemukan di sungai pada jarak 1 kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) pada jam 1.33 tengah hari.
“Pada operasi yang memasuki hari kedua di Sungai Cempias itu, mangsa berjaya telah ditemukan berhampiran dengan Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz.
“Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah membawa naik mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Sabarodzi, operasi pencarian mangsa telah dimulakan pada Isnin susulan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa pada hari sama.
“Keluarga lelaki itu membuat laporan polis berkaitan mangsa yang dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Jumaat,” jelas beliau.
Kata beliau lagi, operasi pencarian mangsa melibatkan empat anggota bomba, PPDA bomba (12), anjing pengesan (K9) (tiga unit), polis (lima) serta anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) (empat).
Operasi yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fawwaz Abdul Jamil itu tamat pada jam 2 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anggota polis hilang ketika bermandi manda bersama rakan ditemui lemas