PARIT – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis ditemukan meninggal dunia di Sungai Perak di Kampung Changkat Parah, dekat sini, pada Sabtu.
Mangsa, Rosidi Nor, 43, yang juga mempunyai masalah gangguan mental ditemukan pada jarak 3 kilometer (km) daripada kawasan mangsa dipercayai terjatuh, pada jam 4.10 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa pada mulanya disyaki hilang di dalam hutan.
Katanya, namun pasukan penyelamat mempercayai mangsa telah menuju ke arah Sungai Perak berikutan penemuan kasut milik lelaki itu di tebing sungai berkenaan pagi tadi.
“Hasil pencarian pasukan penyelamat di dalam hutan juga gagal menemui sebarang petanda, sebaliknya hanya menemui kasut milik mangsa.
“Pencarian mangsa kemudian digerakkan ke Sungai Perak menggunakan kaedah pencarian pada permukaan air sehingga mayat mangsa berjaya ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Sabarodzi, mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Pusat Kawalan Bencana (PKB) untuk proses pengecaman oleh waris, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kata beliau, operasi pencarian mangsa digerakkan susulan pihaknya menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang berusia 43 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak Khamis lepas.
“Ia melibatkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Kuala Kangsar, PPDA BBP Pulau Pangkor dan Unit Anjing Pengesan (K9).
“Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Asmahisham Ab Aziz itu tamat pada jam 6.30 petang,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: