IPOH – Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di kilometer (km) 156 berhampiran sebuah kuil di Pekan Chemor, dekat sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati tren komuter berkenaan sedang dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke arah utara.
Katanya, setibanya di lokasi pemandu kenderaan itu terdengar bunyi dentuman kuat pada bahagian hadapan tren sekitar jam 6 pagi.
“Pemandu tren komuter tidak dapat mengenal pati objek yang menyebabkan dentuman berkenaan kerana keadaan ketika kejadian gelap dan berkabus.
“Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis di lokasi kejadian menemukan serpihan anggota badan manusia bersama barangan peribadi dipercayai milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Abang Zainal Abidin berkata, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama pasukan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Kata beliau, beberapa cebisan anggota badan yang ditemukan telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk dijalankan proses bedah siasat pada Selasa.
“Setakat ini tiada unsur jenayah atau ‘foul-play’ dikesan. Kes diklasifikasikan sebagai ‘sudden death report’ atau mati mengejut (SDR) sehingga Identiti sebenar mangsa dapat dikenal pasti,” ujarnya.
Justeru beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Safrizal Mohd Saad di talian 017-3446790 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi tujuan pengecaman dan pengesahan mangsa.
Tambah beliau, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu serta memberi ruang kepada pihak polis melengkapkan siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: