LARUT – Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari pokok petai berketinggian 10 meter di sebuah kebun durian dekat Kampung Changkat Perah, Batu Kurau di sini pada Khamis.
Mangsa, Hafiz Mohd Isa, 54, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada belakang kepala dan calar anggota badan dalam kejadian sekitar jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, insiden itu berlaku ketika mangsa sedang memanjat pokok bagi mendapatkan hasil petai.
“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan jatuh di tempat tinggi. Keadaan mangsa disedari rakannya yang turut berada di kawasan berkenaan.
“Berdasarkan pada siasatan awal, mangsa telah melakukan kerja-kerja kebun dan memanjat pokok petai sejak berusia 20 tahun lagi.
“Mangsa juga ada membuat kerja-kerja mengutip durian, memanjat pokok jering dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambah Sarudin, kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengkebumian. – MG Perak
Artikel Berkaitan: