Lelaki maut kereta dipandu terbabas langgar ular

TAPAH – Seorang lelaki maut apabila kereta jenis Honda Civic Hatchback yang dipandunya disyaki terbabas selepas melanggar seekor ular di Kilometer 311.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitenden Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian sekitar jam 5.38 pagi daripada orang awam.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 36 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Taiping sebelum kereta dipandu mangsa terbabas akibat melanggar seekor ular yang berada di laluannya.

“Dalam kemalangan ini pemandu kenderaan mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Naim berkata, punca siasatan kemalangan masih dalam siasatan dan orang ramai yang melihat kejadian terbabit diminta tampil memberi keterangan.

“Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Faizan Ahmad@Mohammed Razikin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 013-2087919.

“Pihak polis juga ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa memandu dan mendapatkan rehat yang secukupnya agar dapat mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI