LARUT – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh ketika menjala ikan di tebing kolam miliknya di Batu 20, Kampung Sungai Nangka Jelai, Batu Kurau dekat sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.02 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera tiba sekitar jam 8.18 malam dan mendapati mangsa telah terbaring di tebing kolam dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Ketua operasi kemudiannya melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengarahkan anggota memeriksa mangsa.
“Mangsa berusia dalam lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 9.38 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga sekeluarga maut kemalangan: Pemandu Toyota Hilux positif dadah


