MANJUNG – Seorang lelaki maut akibat tersepit selepas kereta dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Kampung Merbau, Ayer Tawar dekat sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa adalah lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Proton Waja.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.34 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba dilokasi kita dapati seorang lelaki tersepit di dalam Proton Waja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, komander operasi segera melaksanakan penilaian awal (size-up) dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan hidraulik mengikut Konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, operasi terkawal jam 5.59 petang dan tamat sepenuhnya sekitar jam 6.10 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: