IPOH – Seorang lelaki melecur 70 peratus pada bahagian badan selepas sebuah bilik di rumah teres dua tingkat yang didiaminya terbakar di Taman Cempaka, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu BBP Simpang Pulai dan Tambun digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.20 pagi.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi didapati sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat kelas A berkeluasan 18 × 40 kaki terbakar 30 peratus.
“Kita turut menemui mangsa lelaki yang tiada pengenalan diri, melecur 70 peratus akibat kebakaran itu.
“Anggota menjalankan kerja penyelamatan dengan membawa mangsa turun dan seterusnya mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: