PARIT – Seorang lelaki melecur di tapak kaki manakala empat buah motosikal musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Masjid Saodah Kampung Tua di sini, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.44 petang dan seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit serta dibantu BBP Seri Iskandar bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi didapati sebuah rumah kelas B berkeluasan 30’x40’ terbakar 85 peratus manakala empat buah motosikal turut terbakar kira-kira 85 peratus.
“Seorang mangsa lelaki turut ditemukan cedera melecur di bahagian tapak kaki dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Komander operasi telah bertindak melaksanakan size-up dan mengaplikasikan konsep RECEO bagi menyelamatkan mangsa yang cedera dan membuat pemadaman dengan tiga aliran menggunakan air dari sungai berhampiran sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Jumaat.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Syamsul Niza Abdul Rasit tamat sepenuhnya jam 3.45 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Lelaki melecur tapak kaki, empat motosikal musnah dalam kebakaran rumah […]