MANJUNG – Lelaki berusia 50 tahun yang meninggal dunia semasa penyembelihan lembu di Kampung Sungai Rumput, di sini, semalam disahkan mengalami serangan jantung.
Mangsa Radzuan Nanyan, dikatakan rebah di kawasan padang kampung berkenaan yang menjadi lokasi ibadah korban sempena sambutan Aidiladha sekitar jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, mangsa dilaporkan pengsan selepas selesai menyembelih lembu ketiga.
“Mangsa dilaporkan rebah di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung namun disahkan meninggal dunia di unit kecemasan hospital berkenaan.
“Hasil bedah siasat siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan serangan jantung,” katanya.
Hasbullah berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikenal pasti setakat ini.
Terdahulu tular satu rakaman video memaparkan suasana sedih menyelubungi kawasan berkenaan di mana mangsa dilihat dibawa menaiki ambulans oleh pasukan perubatan di bantu penduduk kampung. -MG Perak