IPOH – Tindakan seorang lelaki warga tempatan menyamar sebagai anggota polis dan meminta wang sogokan membawa padah selepas ditahan pihak polis pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisiten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia lingkungan 20-an ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham.
Menurut beliau, penahanan lelaki berkenaan dibuat ekoran tular sebuah video memaparkan suspek berpakaian menyerupai anggota polis trafik dan menahan seorang penunggang motosikal.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menahan penunggang motosikal berkenaan dan mendakwa mangsa melakukan kesalahan ubah suai motosikal.
“Suspek kemudiannya meminta wang tunai RM300 dari mangsa sebagai sogokan bagi mengelakkan di saman.,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Abang Zainal berkata, mangsa yang curiga telah menghubungi rakannya dan memaklumkan kepada pihak polis.
Jelasnya, suspek kemudiannya berjaya ditahan pihak polis bersama beberapa barangan yang digunakan bagi tujuan penyamaran.
“Pihak polis merampas vest pantul cahaya bertulis ‘bike rescue’, topi dan kasut berlogo PDRM, dua buah motosikal Yamaha Y15ZR, ‘walkie talkie’ serta beberapa pelekat rasmi PDRM.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.
Abang Zainal turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang mengaku sebagai anggota polus tanpa menunjukkan kad kuasa yang sah. -MG Perak


