Lelaki OKU tular terima bantuan sejak 2016 – MAIPk

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengesahkan lelaki orang kurang Upaya (OKU) yang tular di media sosial baru-baru ini telah menerima bantuan kewangan bulanan daripada mereka sejak tahun 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, lelaki terbabit, Jefree Regan, 49, adalah salah seorang daripada 13,000 asnaf di negeri ini yang sedang menerima bantuan kewangan secara tetap daripada MAIPk.

Menurutnya, individu terbabit turut menerima bantuan kecemasan segera setiap kali hadir ke pejabat hampir setiap minggu.

“Beliau juga termasuk penerima sumbangan tambahan sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha 2025 yang lalu.

“Kisah sebenar di sebalik kehidupan beliau tidak wajar kami dedahkan bagi menjaga maruah dan amanah harta zakat antara muzakki (pembayar zakat) dan asnaf (penerima zakat),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa MAIPk menzahirkan penghargaan kepada mana-mana individu dan orang awam yang cakna berkenaan golongan asnaf di negeri Perak.

“MAIPk sentiasa menekankan prinsip keadilan dalam pengagihan zakat serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan golongan asnaf dan OKU terus terbela.

“Seterusnya, MAIPk juga menyarankan agar masyarakat mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga nama baik semua pihak,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki OKU bertongkat tanpa satu kaki berjalan dalam hujan untuk membeli makanan di tepi jalan raya sebelum disapa oleh seorang lelaki yang berhenti untuk menawarkan bantuan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih banyak bantuan kepada rakyat – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI