BAGAN DATUK – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya merempuh penghadang jalan konkrit di Jambatan Sultan Nazrin Shah berhampiran Kota Setia Kampung Gajah, pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.08 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun tersepit pada kerusi pemandu kereta jenis Proton Wira.
“Dipercayai kereta berkenaan telah hilang kawalan ketika pemanduan sebelum merempuh penghadang jalan konkrit di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata beliau, pasukan bomba melaksanakan operasi penyelamatan terhadap mangsa yang mengalami kecederaan patah pada kaki menggunakan peralatan hidraulik.
“Mangsa berjaya dibawa keluar daripada kereta tersebut dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP, Zahuri Zainal Abidin bersama kekuatan enam anggota itu tamat pada jam 4.47 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita tersepit, kereta terbalik sebelum rempuh Perodua Bezza


