KUALA KANGSAR – Seorang lelaki ditemukan rentung selepas van dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan sebelum terbakar di Kampung Batu 40 Lempur, Manong, di sini, pada Sabtu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.16 petang.
Katanya, seramai 15 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah van jenis Nissan Vannete dipandu lelaki berusia 32 tahun, sebuah lori satu tan, kereta Honda Civic dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish
“Kejadian itu mengakibatkan van berkenaan terbakar di mana terdapat seorang mangsa terperangkap dalam kenderaan manakala dua lagi penumpang iaitu lelaki berusia 16 tahun dan perempuan 18 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya di sini, pada Sabtu.
Menurut Shazlean, operasi memadam kebakaran segera dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula bekalan air dengan bersumberkan tangki jentera sehingga kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Kata beliau, mangsa yang terperangkap di dalam van telah dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang berada di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sementara tiga mangsa yang cedera termasuk pemandu lori, diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dengan menggunakan ambulans,” katanya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Cik Burhan Abdul Hamid tamat pada jam 5.55 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


