IPOH – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak menyerang seorang jurujual menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah kedai permainan di Jalan Bandar Timah di sini pada Khamis.
Akibat serangan itu, mangsa lelaki berusia 49 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 30 tahun itu dibuat di hadapan sebuah kedai emas berhampiran dengan lokasi kejadian sekitar jam 11.45 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang pada ketika itu sedang bekerja di sebuah kedai menjual permainan telah bertindak menoreh belakang mangsa menggunakan pisau serta meminta wang.
“Mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang dan suspek kemudiannya mengambil tukul dan terus memecahkan cermin lori milik syarikat berkenaan,“ katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dan mengambil sebilah pisau pemotong daging di restoran berhampiran.
“Suspek kemudiannya masuk dalam sebuah kedai emas di Little India dan mangsa bertindak menghalangnya dari melarikan diri. Pekerja kedai emas menghubungi pihak polis dan suspek terus ditahan sejurus selepas itu,“ ujarnya.
Katanya, ujian saringan air kecil yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia turut mengaku mengambil dadah sehari sebelum kejadian.
“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 12 rekod kesalahan lampau, melibatkan tujuh kes jenayah dan lima kes berkaitan dadah.
“Suspek yang didapati berada di bawah pengaruh dadah turut mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.
“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat,” katanya.
Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki memegang sebilah pisau pemotong daging dan berdiri di hadapan sebuah kedai emas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


