IPOH – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila trak pikap dipandunya terbakar selepas dipercayai terbabas ke tepi jalan dan melanggar sebatang pokok Kilometer 6 Lebuhraya Ipoh-Lumut di sini malam tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.05 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan dari BBP Pasir Puteh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang musnah terbakar 90 peratus.
“Kejadian itu berlaku, selepas trak pikap itu dipercayai terbabas ke tepi jalan dan melanggar sebatang pokok sehingga menyebabkan kebakaran.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berumur 45 tahun telah selamat selepas keluar dari kenderaan,“ katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian situasi selepas menerima penyerahan tugas oleh PBS Menglembu yang terlebih dahulu sampai ke lokasi.
“Anggota kemudiannya melakukan kerja-kerja memadam sisa-sisa kebakaran serta ‘overhaul‘ sebelum mengambil milik (kenderaan) bagi tujuan siasatan kebakaran dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.53 pagi,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga beranak nyaris maut, kereta terbakar langgar tiang elektrik


