Lelaki tipu warga emas sebagai Pegawai Bantuan E-Kasih

IPOH – Seorang lelaki menggunakan taktik menyamar sebagai sebagai ‘Pegawai Bantuan E-Kasih’ bagi menipu warga emas di sekitar Negeri Perak sejak Januari hingga Jun.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima 38 laporan polis berhubung tindakan lelaki itu yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM16,2500 di samping menyasarkan mangsa berusia antara 50 hingga 80 tahun.

Katanya, namun taktik suspek berusia 49 tahun itu terbongkar selepas berjaya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah pada 2 Julai lalu.

“Turut dirampas satu unit telefon bimbit dan pakaian yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa-mangsa. Hasil semakan juga mendapati suspek turut mempunyai 12 rekod jenayah lampau yang kesemunya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kes penipuan),” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Ujar beliau, hasil siasatan terhadap suspek mendapati lelaki itu akan ke kawasan berhampiran hospital, bank, medan selera, pasar raya, pasar awam dan stesen bas bagi mencari mangsa warga emas.

Azizi berkata, suspek kemudian akan menyamar sebagai Pegawai Bantuan E-Kasih sebelum meminta mangsa menyerahkan wang tunai dalam lingkungan RM300 sehingga RM1,000.

Kata beliau, ia kononnya bagi tujuan permohonan bantuan E-Kasih dan pembukaan akaun bank mangsa.

“Setelah memperoleh wang tunai daripada mangsa, suspek akan berpura-pura untuk keluar daripada bank bagi membuat salinan fotokopi terhadap kad pengenalan mangsa.

“Mangsa yang diminta menunggu di bank hanya menyedari penipuan itu apabila suspek tidak datang kembali. Selain wang tunai, suspek turut melarikan kad pengenalan mangsa,” katanya lagi.

Justeru Azizi berkata, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Perak telah membuka kertas siasatan dan pertuduhan terhadap lelaki itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, lelaki itu juga berdepan 38 pertuduhan bermula Rabu sehingga 6 Ogos depan di Mahkamah Majistret Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Manjung, dan Hilir Perak.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran bantuan kewangan daripada mana-mana individu tidak dikenali yang meminta bayaran proses terlebih dahulu.

“Semak dahulu dengan agensi berkaitan untuk pengesahan. Pembayaran tunai kepada mana-mana individu di luar kaunter pejabat pembayaran mempunyai risiko perdayaan yang tinggi,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Jurujual ditipu RM904,000 angkara pelaburan saham

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI