Lelaki warga asing ditemukan maut dengan enam kesan tikaman

IPOH – Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dengan enam kesan tikaman di sebuah tapak pembinaan di Taman Menglembu, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mangsa oleh orang awam sekitar jam 1.23 pagi.

Menurutnya, mangsa yang dianggarkan berumur antara 20 hingga 30 tahun itu ditemui terbaring serta tidak sedarkan diri dengan keadaan muka bercalar dan mulut berdarah.

Katanya, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana menunggu semakan dan pengesahan daripada pihak majikan.

“Ketika tiba di lokasi kita mendapati terdapat enam kesan tikaman serta trauma akibat objek tumpul di bahagian kiri muka serta calar di bahagian badan mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 11 pagi tadi mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul (blunt trauma of the head).

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita warga asing berusia antara 21 hingga 41 tahun kira-kira jam 5 pagi tadi.

“Kesemua individu terbabit telah direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

“Sehubungan itu, kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-619 5312 atau ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isteri maut dipukul, ditikam suami depan anak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI