IPOH – Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah teres di Taman Perpaduan Ria, Ulu Kinta di Tambun, dekat sini, pada Jumaat.
Mangsa yang berusia 80 tahun ditemukan maut di atas lantai dalam sebuah bilik rumah terbabit.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 1 tengah hari.

Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dan BBP Ipoh diatur gerak ke lokasi kejadian dengan dibantu pasukan Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Menglembu dan Bercham.
Menurut beliau, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres yang musnah terbakar pada kadar 80 peratus.
“Dalam kejadian itu, dua buah kereta masing-masing jenis Proton Iswara Aeroback dan Perodua Viva serta sebuah Motosikal musnah dalam kebakaran.
“Sementara sebuah rumah di sebelah terjejas kebakaran pada kadar 15 peratus dengan kereta Perodua Myvi yang berada dalam garaj mengalami kerosakan 10 peratus akibat bahang api.
“Sebuah kereta Perodua Kancil yang berada di hadapan rumah mangsa, dan tiga lagi rumah berhampiran mengalami kerosakan kecil,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Shazlean berkata, selepas pasukan bomba selesai melakukan pemadaman, seorang lelaki warga emas ditemukan maut terbakar di atas lantai rumah.
“Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM telah menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM juga telah dipanggil untuk membantu siasatan,” ujarnya lagi.
Terdahulu Shazlean memberitahu, pasukan bomba menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan satu aliran pancutan bersumberkan air dari jentera, dan pili bomba yang berdekatan bagi operasi pemadaman kebakaran.
Kata beliau, operasi berkenaan melibatkan kekuatan 15 anggota pasukan bomba dan lima anggota PBS.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (TBK) Suhaimi Nijar itu berjaya mengawal kebakaran sebelum ia ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.20 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita warga emas rentung, seorang cedera dalam kebakaran rumah


