Lenggong catat lonjakan pelancong 280 peratus, tingkat pendapatan komuniti

LENGGONG – Usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak di Lembah Lenggong memperlihatkan kawasan tersebut berkembang pesat sehingga mendatangkan limpahan manfaat kepada penduduk setempat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini termasuk pelbagai pengiktirafan yang diterima, termasuk daripada Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang memberi impak ketara terhadap landskap ekonomi dan sosial masyarakat di sini.

Menurutnya, dari sudut penjanaan ekonomi, kehadiran pelancong meningkat daripada 24,770 orang pada tahun 2022 kepada 114,182 orang pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 280 peratus.

“Dalam tempoh sama, pendapatan pemandu pelancong meningkat sebanyak 237 peratus, manakala pendapatan pengusaha penginapan turut melonjak 145 peratus.

“Ini membawa kesejahteraan ekonomi langsung kepada masyarakat luar bandar, khususnya komuniti kampung tradisi dan Orang Asli yang semakin aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan pelancongan, kraftangan, makanan tradisional dan program homestay,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sesi Penilaian Aspiring Lenggong UNESCO Global Geopark (UGGp) di Dewan Besar Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, dua wakil penilai UNESCO, Dr Mahito Watanabe dari Jepun dan Dr Ahmet Serdar Aytac dari Turki.

Lenggong catat lonjakan pelancong 280 peratus, pendapatan komuniti terus meningkat
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sesi Penilaian Aspiring Lenggong UNESCO Global Geopark di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lenggong, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 JULAI 2025.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, terdapat peningkatan program latihan dan pemerkasaan termasuk dalam bidang keusahawanan komuniti, kemahiran geoguide, pendidikan alam sekitar serta penglibatan belia dalam inisiatif pemuliharaan dan inovasi sosial.

“Ini menjadikan Lenggong bukan sahaja destinasi pelancongan, tetapi juga pusat pembangunan insan berasaskan warisan,” ujarnya.

Ujar beliau, melalui kajian saintifik yang dijalankan, beberapa kawasan di sekitar Lenggong telah dikenalpasti sebagai lokasi berpotensi untuk dibangunkan.

“Ini meliputi 39 geotapak, 11 tapak geoarkeologi, lapan biotapak, dan 21 tapak budaya dan warisan.

“Lima daripadanya diiktiraf memiliki nilai geologi bertaraf antarabangsa yang merangkumi elemen-elemen warisan geologi, biodiversiti, budaya dan arkeologi yang sangat unik dan saling berkait,” jelasnya.

Sementara itu, Saarani memaklumkan kerajaan negeri giat memperkukuh kedudukan Lenggong di pentas antarabangsa menerusi jalinan kerjasama dengan pelbagai jaringan geopark luar negara serta penglibatan dalam persidangan antarabangsa, termasuk bersama Jepun, Korea Selatan dan Turki.

Tambahnya, Lenggong bukan sekadar destinasi pelancongan, sebaliknya kini menjadi pusat pembangunan insan berasaskan warisan.

Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 merangkumi keluasan 22 kilometer persegi, atau kira-kira satu peratus daripada keseluruhan kawasan Aspiring Lenggong UGGp seluas 2,248 kilometer persegi.

Kawasan tersebut merangkumi lima mukim iaitu Durian Pipit, Temelong, Lenggong, Kenering dan Gerik, dengan jumlah penduduk seramai kira-kira 61,039 orang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UNESCO Global Geopark: Pakar antarabangsa bakal berkampung di Lenggong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI