Lenggong raih enam anugerah pada Perak Tourism Award 2024

IPOH – Agensi kerajan dan penggiat industri dan pelancongan di Lenggong berjaya merangkul enam anugerah sempena majlis Perak Tourism Award atau Anugerah Pelancongan Perak 2024 yang diadakan malam tadi.

Enam anugerah tersebut dimenangi di bawah tiga kategori iaitu Anugerah Pelancongan Pengalaman (Tourism Experience Awards), Anugerah Pemasaran dan Promosi Destinasi (Destination Marketing And Promotion Awards) dan Anugerah Penglibatan Komuniti dan Impak Sosial (Community Engagement And Social Impact Awards).

Majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak, Datuk Mohd Kamil Shafie serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Anugerah yang dimenangi adalah di bawah kategori Anugerah Pelancongan Pengalaman iaitu Rumah Tiang 16 yang memenangi Anugerah Pengalaman Budaya Terbaik (Best Cultural Experience); Prospek Lenggong (Pejabat Daerah Dan Tanah Lenggong) pula memenangi Anugerah Pengalaman Pelancongan Agro Terbaik (Best Agrotourism Experience).

Anugerah Kraftangan Terbaik (Best Handicraft Award) pula diungguli Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lenggong yang menghasilkan Batik Lenggong.

Majlis Daerah Lenggong pula memenangi Pihak Berkuasa Pelancongan Paling Menarik (Most Engaging Tourism Authority) di bawah kategori Anugerah Pemasaran dan Promosi Destinasi.

Di bawah kategori Anugerah Penglibatan Komuniti dan Impak Sosial, Yayasan Bambusa Kampung Orang Asli Air Bah, Lenggong merangkul Anugerah Pengalaman Pelancongan Orang Asli Terbaik (Best Indigenous Tourism Experience).

Pada majlis, sebanyak 46 anugerah terdiri daripada 10 kategori disampaikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada penggiat industri pelancongan yang telah berusaha memajukan sektor pelancongan Perak di samping memeriahkan lagi kempen Tahun Melawat Perak 2024.

Majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air iaitu Noryn Aziz dan Dayang Nurfaizah.

Kali terakhir anugerah tersebut diadakan adalah pada Tahun Melawat Perak 2017. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak hargai peranan ‘influencer’, bantu lonjak industri pelancongan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI